Ukm Specialist Centre melakar sejarah menerusi Pembedahan Implan Koklear Pintar pertama di Malaysia
KUALA LUMPUR, 12 Ogos 2025 – UKM Specialist Centre (UKMSC) merupakan sebuah pusat pakar milikan penuh UKM Holdings yang terletak di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) telah melakar sejarah baharu apabila telah berjaya melakukan pembedahan implan koklear pintar pertama di Malaysia dengan menggunakan sistem Nucleus Nexa. Prosedur pembedahan ini telah dijalankan pada 30 Julai 2025 yang lepas yang telah diketuai oleh Profesor Dr. Goh Bee See, Pakar Bedah Telinga, Hidung dan Tekak (ENT) UKMSC. Prosedur sulung ini menandakan era baru dalam dunia perubatan moden bagi proses pemulihan pendengaran dengan teknologi maju yang berkebolehan untuk dinaik taraf pada masa akan datang.
Kejayaan prosedur ini adalah hasil usaha kolaboratif pasukan Implan Koklear HCTM, yang terdiri daripada pakar bedah ENT, audiologi, ahli terapi pertuturan, pakar pediatrik, radiologi dan para profesional kesihatan yang sentiasa bersedia dalam menyediakan penjagaan secara menyeluruh bermula dengan proses diagnosis hingga ke proses pemulihan.
Kemajuan teknologi pendengaran di Malaysia bermula sekitar tahun 1995, apabila ia pertama kali diperkenalkan oleh Prof. Emeritus Dato’ Dr. Lokman Saim, seorang pakar bedah ENT yang terkenal dalam landskap pemulihan pendengaran negara. Kepakaran ini turut dimiliki oleh Profesor Dato’ Dr. Abdullah Sani Mohamed, pakar Otorhinolaringologi, Profesor Dr. Siti Zamratol-Mai Sarah Mukari dan Profesor Dr. Kartini Ahmad dari Jabatan Audiologi & Sains Pertuturan yang kini dikenali sebagai Fakulti Sains Kesihatan. Mereka ini merupakan perintis kepada pembedahan implan koklear generasi pertama berjaya dilakukan pada 14 Disember 1995.
Implan koklear pintar ini dilengkapi dengan kecerdasan termaju yang mana perisian tegarnya boleh dinaik taraf, mempunyai memori terbina, dan pemproses bunyi yang lebih ringan dengan kapasiti hayat bateri yang lebih lama, memberikan keselesaan, kecekapan, dan prestasi yang lebih baik berbanding generasi sebelumnya.
“Ini bukan sekadar mengenai memulihkan pendengaran tetapi ia mengenai memulihkan hubungan, komunikasi, dan keyakinan. Dengan membawa teknologi canggih seperti ini, kami menetapkan piawaian baru untuk penjagaan pendengaran di Malaysia.” ulasan Prof. Dr. Goh Bee See dalam sesi ucaptamanya.
Pembedahan ini disokong oleh Dr. Tan Kok Wang, pakar anestesiologi; Ms. Fatimah Sazari, pakar audiologi; Mr. Bryan Cho Kai Shuo, ahli terapi pertuturan dan pasukan jururawat. Saluran bantuan kewangan juga diberikan oleh One Hope Charity & Welfare bagi melancarkan proses pembayaran perubatan untuk keluarga pesakit.
“Kami akan terus melabur dalam inovasi, melatih pakar masa depan, dan bekerjasama dengan rakan kongsi kami untuk menjadikan rawatan yang mengubah kehidupan ini boleh diakses oleh semua rakyat Malaysia,” kata Prof. Datin Dr. Marina Mat Baki, Dekan Fakulti Perubatan, UKM.
“Pencapaian ini mencerminkan misi UKMSC untuk menggabungkan teknologi termaju dengan penjagaan yang penuh tertib dan berdedikasi. Kami optimis untuk memberikan komitmen yang holistik dengan mengintegrasikan teknologi canggih dan ilmu perubatan moden untuk menyokong kesejahteraan pesakit di UKMSC.” kata Dr. Muhamad Naqib, Ketua Pegawai Operasi UKMSC.
Sebagai makluman tambahan, Jayden yang merupakan pesakit yang telah menjalankan rawatan ini telah menunjukan reaksi positif dan semakin baik yang kini sedang dipantau rapi oleh pakar-pakar Kesihatan UKMSC. Kemajuan perkembangan pemulihan kesihatannya juga semakin cepat dan beliau dijangka akan akan dapat mendengar dengan lebih baik dan selesa dalam masa terdekat.
— UTUSAN MALAYSIA
Blok B1 – Plasma, UKM-MTDC Technology Centre,
Universiti Kebangsaan Malaysia, 43600 Bangi, Selangor
Tel: +6038925 1721 | +6038920 2437 / 1750
Email: enquiry@ukmholdings.com.my
2025 © UKM HOLDINGS SDN. BHD. (511772-P). All Rights Reserved.